Sabtu, 14 Jun 2014

Jom timba sedikit ilmu

Rukun dalam pelaburan

Pelaburan adalah sebahagian daripada perniagaan yang dibenarkan di dalam Islam.  Pelaburan (Al-qiradl) atau penyerahan modal untuk diperniagakan di dalam Islam mempunyai beberapa syarat dan rukun seperti di bawah:-

Penyerahan Modal untuk diperniagakan (al-qiradl)

Hendaklah dijaga pada qiradl ini, 3 sendi (rukun)

Rukun 1: Modal 

-   Syaratnya modal itu mestilah berupa wang yang dimaklumi jumlahnya dan diserahkan kepada yang akan mengerjakannya dalam perniagaan. 

-   Maka tidak diperbolehkan qiradl pada barang-barang kerana perniagaan itu akan menjadi sempit padanya. 

-  Dan kalau disyarat oleh pemilik modal supaya modal ditangannya, maka tidak dibolehkan kerana dengan demikian, menyempitkan jalan perniagaan.

-  Tiada Jaminan keatas Modal, jika pelaburan itu tidak berhasil atau rugi maka modal itu dikira lenyap dan hangus.   

Rukun 2: Keuntungan

-    Hendaklah keuntungan itu diketahui pembahagiannya dengan disyaratkan bagi pemilik modal sepertiga atau seperdua atau berapa yang dikehendakinya. Misalnya pembahagian keuntungan 50:50 atau 60% untuk pelabur dan 40% untuk peniaga atau mana-mana nisbah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. 

-    Kalau pemilik modal itu mengatakan: "Untuk kamu, keuntungan seratus dan sisanya bagiku", niscaya tidak boleh. Maka tidak boleh menentukannya dengan jumlah tertentu, tetapi hendaklah dengan jumlah yang umum. 

Rukun 3: 'Amil iaitu orang yang melaksanakan perniagaan

-  syaratnya perniagaan itu tidak menyempitkan kepada 'amil dengan penentuan barang dan waktu atau sesuatu syarat yang menyempitkan pintu perniagaan, niscaya 'apad qiradl itu batal.

             Agama Islam tidak membenarkan satu pihak menindas satu pihak yang lain. Begitu juga dalam urusan pelaburan, kedua-dua pihak Pelabur dan Peniaga sama-sama kena tanggung risikonya.  Misalnya kita melabur dengan kawan kita di Acheh dan ditetapkan tiap-tiap bulan kita dapat 25%. Tiba-tiba berlaku tsunami di Acheh dan habis semuanya musnah. Kita tidak akan menyangka perkara sebegitu boleh berlaku dan apa-apa pun boleh berlaku dan kita mesti sama-sama kena berani menanggung risikonya. Pelabur yang lenyak tidur, tau-tau tiap-tiap bulan 25% duit masuk ke dalam account bank. Sedangkan pihak peniaga kalau rugi tak dapat tidur, siang malam asyik memikirkan cara bagaimana hendak bayar 25% itu kepada pelabur. Ini yang tidak dibenarkkan dan diharamkan dalam Islam.
Kita mesti ingat walaubagaimana hebatnya sesuatu perniagaan itu, kita tidak akan dapat meramal atau mengetahui apa akan terjadi dimasa akan datang, untung atau rugi, kaya atau miskin, hidup atau mati dan sebagai manusia yang beragama kita hanya boleh berusaha dengan ilmu yang ada untuk berjaya tetapi hanyalah ALLAH Ta'ala yang menentukannya.

"Allah Ta'ala tidak mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan mereka sendiri  berusaha untuk mengubahnya". 

"Gunung kalau di gali tiap-tiap hari pun akan rata jadinya".

Islam menghalalkan jual-beli tetapi mengharamkan Riba'. 

Sedikit ilmu
Untuk renungan bersama
Semoga ianya bermanfaat pada kita